Pages


Saturday 5 May 2012

Buanglah Hasad....Ia Mengundang Neraka Yang Disegerakan

Assalamualaikum dan selamat malam.

Dah sekian lama kutinggalkan blog kecilku ini.  Dah lama sangat kutidak menulis di ruangan sempit ini.
Hari ini aku ingin berkongsi tentang sifat hasad dengki yang menjadi penyakit kepada manusia hari ini.  Penyakit yang dihidapi tanpa mengira usia, status, darjat dan keturunan.

Hasad dengki boleh dikatakan sebagai penyakit rohani tahap 'merah'.  Ia merbahaya sekali pada agama dan duniawi seseorang.  Risiko buruknya sangat luas dan ketara.  Kehadirannya mengancam cuaca tenang dan suasana damai di jiwa.  Apabila ia menguasai diri seseorang maka buruklah padahnya.  Antaranya, amalan seseorang musnah dan lenyap begitu sahaja.

Penguasaan dan penularan penyakit dengki berlaku tanpa had dan batasannya.  Ia menimpa sesiapa sahaja tidak kira cerdik atau bodoh, jahil atau alim, lelaki atau perempuan kerana kecuali hamba yang dipelihara oleh Allah SWT.  Namun, sepandai-pandai 'orang cerdik pandai' yang berhasad dengki, ia rupanya jahil sekali terhadap bencana dan fasad (kehancuran) 'segera' yang akan berlaku ke atas dirinya.

Belum lagi dunia kiamat, belum lagi rencana buruk dan kehasadannya menimpa insan yang didengkinya, tengok-tengok tanpa sedar telah muncul di depan matanya lima seksaan 'tunai' atau 'segera' di dunia yang akan menjadikan dirinya macam orang kena sawan atau macam kera kena belacan.  Sawan dan suasana tidak keruan yang menjelma pada rutinnya itu adalah dek kerana jiwanya yang tidak pernah rehat dari al-hasad, sebagaimana sabda Nabi SAW.

Apakah lima seksaan duniawi itu?

As-Syeikh Abul Laith as-Samarqandiy rahimahullah berkata:

"Akan menimpa ke atas diri si penghasad dengki lima seksaan sebelum hasanya itu jatuh ke atas orang yang dihasadnya.

  • Akan menimpa ke atas dirinya musibah berat yang tidak mendatangkan pahala sedikit pun.
  • Akan menimpa ke atas dirinya kebimbangan dan kedukaan yang berpanjangan.
  • Akan menimpa ke atas dirinya celaan dan kutukan.
  • Akan menimpa ke atas dirinya kemarahan Allah SWT
  • Akan ditutupkan ke atasnya pintu taufik.
Kalau demikianlah kerasnya seksaan di atas dunia ini, maka kenapa manusia masih sahaja suka hidup dengki-mendengki, dendam-mendendam sesama mereka?  Yang sudah itu, sudahlah.  Buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih.

Akan tetapi, sepanjang perjalanan dunia ini, ia menyaksikan betapa orang yang dijangkiti virus hasad dengki ini jiwanya tak pernah tenteram, hatinya jadi tak keruan dan tidurnya pun tak lena.  Maka inilah dia yang dikatakan 'neraka yang disegerakan'.  Wal'iyazubillah.

No comments: