Pages


Wednesday 11 April 2012

Sayangilah Hati Kita

Hati kita ada pintu-pintunya.  Maka kita katakan 'pintu-pintu hati'.  Tugas dan tanggungjawab kita adalah memastikan pintu-pintu hati tadi senantiasa terbuka luas.  Untuk apa?  Supaya ia  boleh menerima sebanyak-banyaknya cahaya hidayah serta ilmu Allah SWT.

Biarpun hati kita sentiasa terbuka, namun kita harus awas selalu.  Tahap keselamatannya harus dipantau dan dipertingkatkan dari masa ke masa.  Ye lah, banyak juga bilangan musuh yang mahu menjajah kerajaan hati.  Banyak musuh yang cemburu dengan kegemilangan hati dengan nur hidayahnya yang berkilau serta ilmu Allah SWT yang sarat.  Untuk itu, musuh-musuh itu tidak pernah rehat mengintai dan menanti peluang lewat dasar 'keterbukaan' pintu-pintu hati.

Sehebat mana pun serangan musuh (nafsu dan syaitan), pintu-pintu hati mesti sentiasa terbuka.  Tidak boleh tertutup.  Terbukanya pintu-pintu hati melambangkan kehebatan dan 'gentlenya' dia.  Hati yang terbuka pintunya tidak pernah gentar dengan serangan-serangan liar itu kerana ia rasa selamat dengan pagar-pagar yang melingkari dan merentang di sekelilingnya.  Itulah pagar ketauhidan(akidah), amal soleh, keikhlasan, keyakinan serta kesabaran.

Syaitan dan nafsu tidak berupaya untuk terus-menerus menutup pintu-pintu hati yang terbuka tadi.  Mereka amat takut dan gerun pada kilauan cahaya iman dan nur hidayah yang menyimbah laksana bebola mentari itu.

Namun mereka tak pernah berputus asa.  Mereka datang dengan cara yang lain pula.  Kali ini modus operandi mereka adalah dengan berusaha keras secara berpasukan melemah dan merosakkan pagar-pagarnya yakni hati tadi.  Pagar yang tidak dipantau dan dikawal rapi akhirnya bolos juga!

Senjata apa yang diasak sampai melumpuhkan pagar-pagar hati tadi?  Tidak lain dan tidak bukan dosa-dosa yang kita lakukan sama ada kepada Allah SWT atau sesama manusia.  Senjata dosa yang diguna pakai syaitan dan nafsu pada fasa pertamanya bertindak memusnahkan pagar-pagar hati.  Pada fasa berikutnya ia menjadi lebih agresif dan kemaruk.  Apabila bala tentera datang dengan jumlah yang banyak, bukan sahaja pagar hati dapat diruntuhkan, bahkan pintu-pintu hati yang terbuka tadi pun berjaya diceroboh dan dibolosi.  Apa yang terjadi selepas 'tentera penjajah' itu berjaya menguasai hati?

Hati yang terbuka tadi akan menjadi tertutup.  Cahaya iman yang berkemilau bertukar menjadi suram dan kelam.  Cahaya ilmu tidak mendapat tempat lagi kerana pintu-pintu hati mula tertutup rapat.

          Di fasa ini, manusia akan menjadi seorang lalai selalai-lalainya.  Firman Allah SWT:

     كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

 "Sesekali-kali tidak (demikian).  Sebenarnya apa yang selalu mereka lakukan itu menutup hati mereka".  (Al-Mutaffifin:14)

Al-Hasan menafsirkan ayat ini dengan berkata:  "Ia bermakna dosa demi dosa, sehingga hati menjadi buta".

As-Syeikh Abu Bakar al-Jaza-iri rahimahullah di dalam tafsirnya Aisarut Tafasir menyebutkan:  ''Dosa-dosa yang dilakukan itu menutupi hati-hati mereka dan mendinding mereka daripada menerima kebenaran."

Ulama lain pula menyebutkan: "Apabila dosa dan maksiat menjadi banyak, ia akan meliputi hati mereka."

Apabila keadaan ini berlaku kepada seseorang yang sebelum ini mendapat hidayah dan ilmu, maka ia akan menjadi terbalik.  Ketika itu ia akan dikuasai oleh musuh-musuhnya yang mengheretnya ke mana saja yang disukai mereka.

Sayangilah hati kita.  Wallahu a'lam.

No comments: