Guru, insan yang paling hampir dengan kita selain ibu bapa dan keluarga. Adakalanya guru lebih memahami kita jika dibandingkan dengan ibu bapa. Masa yang agak panjang ketika di sekolah memungkinkan keakraban antara guru dan murid. Aku amat menyayangi guru-guruku.
Guru yang paling aku sayangi kini telah kembali kepada penciptaNya. Hanya doa yang mampu mengiringi allahyarhamah. Semoga bakti dan jasa arwah akan mendapat keberkatan. Beliau merupakan idolaku. Sifat keibuannya selalu membuat hatiku tenang. Beliau jugalah yang banyak membuka peluang kepada diriku daripada seorang pelajar biasa kepada seorang pengawas sekolah dan akhirnya aku dilantik sebagai Ketua Pengawas Perempuan bagi sekolahku.
Beliau jugalah yang membuka minatku untuk mengikut jejak langkahnya sebagai seorang pendidik. Aku bertekad untuk menjadi seorang pendidik yang mampu disayangi oleh bakal anak-anak didikku. Aku ingin menjadi seorang guru, pendidik dan pendamping kepada bakal anak-anak didikku.
Semoga apa yang kuimpikan ini bakal dimakbulkan Allah. Doakan aku tau.
Beliau pernah berpesan kepadaku. Beliau selalu mengingatkan kepentingan pelajaran. Seorang guru yang hebat perlu mempunyai ilmu yang tinggi. Rasa hormat pelajar kepada seseorang guru kerana ilmunya. Katanya lagi, jangan jadikan kerjaya guru sebagai satu pekerjaan tapi jadikan kerjaya ini sebagai satu ibadah. Cintailah kerjaya ini. Didiklah anak-anak didik seikhlas hati. Pasti hasilnya akan kembali kepada diri kita juga.
Sekali menjadi guru, sampai bila-bila pun kita akan menjadi guru walaupun setelah kita tiada di dunia ini. Aku setuju dengan kata-katanya. Ya Allah, kau cucuri arwah guruku. Tempatkanlah beliau di kalangan hambaMu yang soleh.
Terima kasih guru-guru yang pernah mengajarku. Terima kasih semua guruku di Sekolah Kebangsaan Galing, Kuantan dan Sekolah Menengah Perempuan Methodist, Kuantan.

No comments:
Post a Comment