Kebahagian itu ada dalam sikap bersahaja, bukan dalam sikap melampaui batas dan bukan pula dalam sikap malas. Ia juga tidak dalam sikap terlalu berlebihan dan sikap terlalu melalaikan. Sikap bersahaja adalah manhaj rabbani yang terpuji yang akan mencegah hamba agar tidak terjebak ke dalam dua sisi yang sangat ekstrim.
Sikap bersahaja akan membuat anda bahagia. Bersahaja dalam ibadah bererti jangan terlalu berlebihan kerana sikap seperti itu hanya akan merosakkan fizikal, memadamkan kobaran semangat dan ketahanan dalam bekerja. Jangan pula bersikap malas kerana kemudian nanti anda akan cenderung menjauhi hal-hal bersifat nafilah, mengabaikan yang fardhu dan hanya bergantung pada harapan-harapan kosong. Bersahaja dalam berinfaq bererti jangan menghambur-hamburkan harta sehingga anda menjadi orang yang merana.
Namun, jangan pula terlalu banyak perhitungan dan kikir terhadap apa yang anda miliki sehingga anda menjadi tercela dan dijauhkan dari rahmat Allah. Bersahaja dalam berakhlaq bererti bersikap antara ketegasan yang melampau batas dan kelembikan yang tidak berdaya, antara kemuraman hati yang terlalu dan tertawa yang terbahak-bahak, antara mengasingkan diri hingga tidak kenal masyarakat setempat dan bergaul dengan masyarakat hingga lupa segalanya.
Bersahaja dalam menyikapi masalah, dalam menilai sesuatu dan dalam pergaulan dengan orang lain. Tidak perlu berlebihan sehingga meringankan pertimbangan nilai; tidak mengabaikan hingga pokok kebaikan tidak tersentuh. Berlebihan adalah pemborosan dan berfoya-foya, sedangkan mengabaikan adalah kering.
Sebenarnya kebaikan itu terletak antara dua keburukan; antara sikap berlebihan dan sikap mengabaikan. Kebaikan itu berada antara dua kejahatan; antara berlebihan dan yang tidak sama. Kebenaran juga terletak antara dua kebatilan; antara kebatilan kerana berlebihan dan kebatilan kerana kekurangan. Kebahagian itu terletak antara dua kesengsaraan; antara kesengsaraan sebagai akibat bertindak tanpa perhitungan dan kesengsaraan sebagai akibat terlalu takut berbuat sesuatu.

No comments:
Post a Comment