Merenung ke langit, mencari bintang-bintang berkedipan. Apakah bintang hatiku masih di sana. Apakah bintang itu tetap setia menemaniku.Menemani seperti malam-malam sebelumnya, bulan-bulan sebelumnya. Soalan demi soalan terus menerjah hatiku.
Aku ini masih bulan yang sama. Bulan yang satu. Bulan yang setia menanti bintang, walaupun bintang itu riang bersendirian.
"Bintang, mengapa aku tetap merinduimu? bulan mengajukan soalan dengan penuh ketenangan. Ingin sekali mendengar apa yang bakal diperkatakan bintang. Jawapan tetap dinanti meskipun bintang tetap membisu seribu bahasa. Bintang hanya mampu tersenyum riang sambil berlalu meninggalkan aku.
Aku tidak mampu berbuat apa lagi.
Bintang tetap menjauh meninggalkan aku. Meninggalkan dengan seribu persoalan. Aku hanya mampu melihatnya pergi dan terus pergi meninggalkan diri ini. Bintang pasti sudah bosan dengan sikapku. Egokah aku? Salahkah aku kalau aku tidak mampu menyambut huluran tangannya. Aku tidak mahu menyiksa bintang.
Antara bulan dan bintang, pastinya bintang lebih bermakna. Amat besar jasa bintang pada insan-insan ciptaan Allah. Bintang diperlukan. Bintang menjadi harapan kepada manusia. Kilauan bintang di langit mampu meluruhkan keegoan insan Allah.
Dari kejauhan, bintang menjelaskan bahawa dalam hatinya sudah ada bulan lain. Bulan yang ingin menjadi pendamping hidupnya seumur hidup. Bulan yang sudi menyambut erat tangannya.
Aku akur dengan ketentuan Ilahi. Aku turut gembira dengan kebahagian yang bintang kecapi kini.
Kini, aku keseorangan meniti kehidupan tanpa bintang di sisiku lagi. Hanya doa yang mampu kuberikan tanda kasih sayang yang tak berbelah bagi. Doa agar bintangku bahagia bersama-sama bulannya. Bintangku kini riang berkejaran di langit sambil ditemani cahaya rembulan yang dulunya menjadi kegilaan si pungguk.

No comments:
Post a Comment